Monday, July 9, 2012

Makhluk Lagenda, Hasz

     Disebutkan dalam sebuah kisah, terdapat sebuah kampung yang dinamakan Kampung Pasir Sebutir. Penduduknya hidup dengan aman damai dan terdiri dari sekecil-kecil bayi sehinggalah setua-tua Tok Bomoh. Tiada adegan tarik-menarik rambut dan tuduhan liwat berlaku kerana mereka hidup saling membantu.

     Meskipun penduduk Kampung Pasir Sebutir hidup dalam keadaan aman dan gembira, mereka masih takut untuk pergi ke hutan di hujung kampung. Kanak-kanaknya tidak bermain police and thief atau berkejaran memanjat pokok hingga ke hutan di hujung kampung. Orang dewasanya pula tidaklah memburu di hutan itu walaupun sudahlah nampak akan ia seekor pelanduk sedang bersantai di hutan itu. Tukang urut pula mengelak mengutip herba dan akar kayu sehingga ke hutan itu walaupun ketika itu hari masih pagi.

     Dikhabarkan dari mulut ke mulut, generasi ke generasi, dari datuk diturunkan kepada bapa, bapa diturunkan kepada anak, anak diturunkan kepada cucu, cucu diturunkan kepada cicit, cicit pula akan meneruskan cerita ini sehingga tamat keturunnya jika keturunnya ada yang mandul atau minat sejenis, tentang makhluk yang menetap di hutan di hujung kampung. Makhluk lagenda itu bernama Hasz.

     Dikisahkan dari generasi ke generasi, makhluk lagenda Hasz ini mempunyai badan sebesar naga, kepala seperti singa jantan, mempunyai empat kaki seperti kaki helang dan ekornya menyerupai ekor kuda. Dikisahkan lagi makhluk ini sedang tidur di dalam tanah dan penduduk kampung harus bersedia ketika makhluk lagenda Hasz ini terjaga dari tidur.

Gambar sebagai hiasan

      Pada suatu pagi yang indah, ketika kanak-kanak sedang berkejaran bermain police and thief, Tok Bomoh sedang membakar kemenyan dan membaca mantera, tukang urut sedang mengurut leher kanak-kanak yang terseliuh, Tok Mudim sedang memujuk kanak-kanak yang menangis, si ibu sedang memasak di dapur, si ayah sedang bekerja di bendang, si pemburu sedang menahan jerat menjerat napuh dan kancil, si Tok Ketua sedang mengira duit, mereka digemparkan dengan bunyi ngauman yang kuat dari hutan di hujung kampung.

     Makhluk lagenda Hasz sudah terjaga dari tidur dan menuju ke arah kampung. Dari sekecil-kecil bayi sehinggalah setua-tua Tok Bomoh habis dimakannya.




TAMAT